PERGERAKAN Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memutuskan untuk membebaskan dua lagi tawanan wanita Israel atas dasar kemanusiaan.
Jurucakapnya, Abu Ubaida membuat pengumuman itu menerusi siaran di Telegram pada Isnin.
Menerusi siaran itu, kedua-dua wanita itu dilihat dilayan dengan baik dan selamat di tangan Hamas.
“Kami membebaskan mereka atas dasar kemanusiaan dan kesihatan,” katanya seperti dilapor Press TV.
Sementara itu, sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua wanita warga emas itu yang dikenali sebagai Nurit Yitzhak dan Yochved Lifshitz dibebaskan melalui pengantaraan Mesir.
Hamas pada awalnya memutuskan untuk membebaskan kedua-dua wanita itu pada Sabtu, namun rejim pengganas Israel enggan menerima mereka.
Ini membuktikan bahawa negara haram itu sebenarnya langsung tidak peduli akan keadaan tawanannya.
“Kami memutuskan untuk membebaskan mereka atas dasar kemanusiaan dan perubatan yang memaksa, meskipun pihak di sebelah sana (Israel) melanggar lebih daripada lapan prosedur yang dipersetujui dengan pengantara (Mesir),” kata kenyataan itu.
Agensi berita rasmi Mesir pada petang Isnin melaporkan bahawa kedua-dua tawanan wanita itu telah selamat tiba di persimpangan Rafah, Mesir.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata, ia juga telah memberi bantuan dengan membawa keluar wanita tersebut keluar dari Gaza.
Jumaat lalu, Briged Al-Qassam membebaskan dua tahanan Amerika Syarikat (AS) atas dasar kemanusiaan menerusi pengantaraan Qatar.
Abu Ubaida berkata, wanita dan anak perempuannya itu dibebaskan untuk membuktikan kepada rakyat AS dan dunia bahawa, segala tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden AS, Joe Biden terhadap Hamas adalah palsu.
Sebelum ini, beliau berkata, bilangan penduduk Israel yang menjadi tawanan ketika Operasi Banjir al-Aqsa pada 7 Oktober lalu adalah sekitar 250 orang.
Katanya, seramai 200 daripada tawanan itu ditahan oleh Briged al-Qassam, manakala selebihnya ditahan oleh kumpulan pejuang Palestin yang lain.