HomeBeritaPolitikHamzah nafi krisis dengan Muhyiddin

Hamzah nafi krisis dengan Muhyiddin

CYBERJAYA: Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan dakwaan bahawa beliau mempunyai masalah dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Bersatu itu juga berkata, isu merebut jawatan Presiden itu sama sekali tidak pernah timbul, sebaliknya dakwaan tersebut hanya rekaan orang luar semata-mata.

“Siapa yang cakap? Dalam mesyuarat kami terdiri Presiden (Bersatu), Timbalan Presiden dan saya Setiausaha Agung baik saja. Tidak ada masalah.

“Ini mesti ada orang luar yang nak buat cerita bukan-bukan. Tak ada pun cerita tentang (saya nak bertanding jawatan Presiden) sebab pemilihan lagi 18 bulan. Apa hal nak cerita pasal perpecahan?,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Larut itu berkata, perselisihan untuk merebut jawatan itu tidak pernah berlaku, memandangkan Muhyiddin yang melantik beliau sebagai Setiausaha Agung.

Katanya, tindakan keluar daripada parti atau dipecat daripada parti akan terjadi sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku.

“Tidak ada. Saya Setiausaha Agung, Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden. Dia lantik saya sebagai Setiausaha Agung. Pasal apa nak (berlaku) perpecahan? Kalau saya tak suka dia saya berhenti. Kalau dia tak suka saya dia pecat saya.

“Adakah perkara itu berlaku? Apa hal ini buat cerita yang bukan-bukan. Sebab itu kita tengok rakan-rakan (dalam Bersatu) semua kami bersama, baik saja,” katanya.

Terdahulu, timbul desas-desus mengenai hubungan Hamzah dengan Muhyiddin berantakan, berikutan isu merebut jawatan Presiden Bersatu.

Malah, Hamzah dida calon utama untuk menggantikan Muhyiddin yang dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan akan datang.

Author

Pilihan Editor