HomeBeritaHilang di Pulau Perhentian: Rupa-rupanya sudah balik Kluang berehat

Hilang di Pulau Perhentian: Rupa-rupanya sudah balik Kluang berehat

KLUANG: Empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang setelah gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian di sini sejak Sabtu lalu selamat pulang ke pangkuan keluarga di sini hari ini.

Sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut, Ahmad Nazrul ketika dihubungi mengesahkan empat sekeluarga iaitu Suraidah Abdul Ghani, 54, dan anaknya, Mohamad Aiman Rafee, 21, serta dua cucunya, Sasa Alesha Mohd. Saiful 7, dan Ahmad Dhani Mohd. Saiful, 4, sudah selamat pulang ke Kluang.

“Ya, saya mengesahkan bahawa mereka telah selamat pulang ke Kluang, saya telah berhubung dengan ayah kepada kanak-kanak tersebut dan dia mengesahkan.

“Buat masa ini mungkin ayahnya mahu berehat sebab memandu kenderaan dari Kluang ke Terengganu patah balik, kita cuba bantu mana yang termampu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Ahmad Nazrul juga berharap tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini.

Katanya, kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pihak berwajib dalam masa terdekat.

“Terima kasih kepada semua yang telah banyak membantu dalam usaha mencari ini.

Terima kasih pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pengusaha resort dan hotel Pulau Perhentian, pengusaha bot Pulau Perhentian dan semua yang terlibat secara langsung mahupun secara tak langsung,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, siasatan awal mendapati empat sekeluarga itu telah mendaftar keluar dari sebuah resort di Pulau Perhentian Kecil pada pukul 8 pagi, Ahad lalu.

Semakan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan Proton Saga yang dinaiki keluarga itu dikesan telah bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke Jambatan Seberang Kastam di sini pada pukul 10.06 pagi, 1 Oktober lalu.

Dalam pada itu, tular di media sosial tentang kerisauan ahli keluarga Suraidah setelah tiada berita tentang wanita itu bersama anaknya serta dua cucu sejak Sabtu lalu. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor