SEREMBAN: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan kawasan Nilai di sini sebagai lubuk mencari rezeki membawa kepada penahanan 216 orang warga asing dalam Op Sabong yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, seramai 11 orang kanak-kanak juga ditahan daripada keseluruhan warga asing tersebut dalam operasi di bawah arahan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Negeri Sembilan bermula 24 hingga 28 Oktober lalu.
“Operasi dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk kedai-kedai perabot, permaidani, runcit, langsir dan kedai makan.
“Hasil daripada 74 operasi yang dilaksanakan, pemeriksaan telah dibuat ke atas 1,597 warga asing. Seramai 216 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1957/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kennith berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 134 orang lelaki dan 71 wanita serta 11 kanak-kanak.
“Pecahannya 153 warga Myanmar, Indonesia (16), Bangladesh (24), Nepal (5), Kemboja (2), Pakistan (3), India (4) dan Vietnam (8).
“Manakala kanak-kanak terdiri daripada 10 warga Myanmar dan seorang warga Pakistan. Kanak-kanak yang ditahan berusia antara dua hingga 17 tahun,” katanya.
Beliau berkata, warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Lenggeng untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi masa (20 orang), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah (193 orang).
“Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 menyalahguna pas lawatan sosial (3 orang),” katanya.
Menurut Kennith, sebanyak sembilan borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.
“JIM Negeri Sembilan juga ingin memaklumkan bahawa sepanjang Januari hingga 11 Oktober 2023, pihak kami telah melaksanakan 30 operasi di Nilai 3.
“Hasil daripada operasi tersebut seramai 184 orang telah diperiksa dan 31 orang telah ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Daripada jumlah tangkapan, 14 adalah warga Pakistan, tujuh Bangladesh, tiga India, lima Indonesia dan dua Myanmar. Setakat ini sebanyak tiga majikan telah pun didakwa di mahkamah,” katanya.- Utusan