HomeBeritaViralJangan pakai baju, mafela ‘Free Palestine’ di Mekah, Madinah

Jangan pakai baju, mafela ‘Free Palestine’ di Mekah, Madinah

PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi berpesan kepada jemaah umrah negara ini supaya tidak sesekali memakai baju atau mafela ‘Free Palestine’ sewaktu berada di sana kerana ia salah di sisi undang-undang.

Wanita dikenali sebagai Masnira Ramli itu memberitahu, ini berikutan terdapat jemaah yang ditahan susulan kesalahan tersebut sekali gus menasihati jemaah umrah Malaysia supaya berhati-hati.

“Jangan pakai baju atau mafela ‘Free Palestine’ di Mekah, Madinah. Salah di sisi undang-undang. Dah ada jemaah yang kena tangkap terus ke ‘dalam’ sebab pakai. Hati-hati ya semua jemaah.

“Bukan negara ini tak support (sokong). Tetapi memang itu undang-undangnya. Bukan tentang isu ini sahaja, malah apa-apa isu dalam negara atau dunia pun tak boleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Masnira memberitahu, berikutan penguatkuasaan undang-undang itu juga, tiada sebarang perarakan dilihat di dua lokasi tersebut.

“Sebab itu kalian tidak pernah nampak apa-apa jenis perarakan pun di sini,” ujarnya.

Sementara itu, dia turut menasihati agensi umrah Malaysia untuk mengingatkan jemaah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Jangan komen negatif di status saya. Ini hanya mesej peringatan bersama. Para agensi pelancongan, ingatkan jemaah kalian ya. Kasihan jemaah yang tak tahu. Tiba-tiba hilang terus ke ‘dalam’,” katanya. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor