HomeBeritaIndia setuju eksport beras putih ke Malaysia

India setuju eksport beras putih ke Malaysia

PETALING JAYA: India bersetuju mengeksport semula bekalan beras putih ke Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat awal dan proses rundingan harga perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Malaysia mengambil tindakan lanjut.

“Kita akan lihat dulu berapa harganya, sebab sekarang ini baru di peringkat persetujuan. Akan ada di peringkat perundingan dan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Sebelum ini, India dilapor mengambil keputusan menghentikan eksport beras putih bukan basmati sebagai langkah mengelakkan lonjakan harga bekalan domestik.

Perkara itu dibimbangi pelbagai pihak apabila ia boleh mencetuskan kenaikan kadar inflasi, sekali gus meningkatkan lagi harga makanan dalam pasaran global.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, perincian apungan harga ayam dan telur akan diumumkan pada 30 Oktober ini selepas perbincangan melibatkan pelbagai pihak seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) serta industri atau pengeluar telur dan ayam.

Sementara itu, berhubung HPPNK, beliau berkata, ia berlangsung dari 10 hingga 12 November ini di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, Perak.

Katanya, majlis bertemakan Keterjaminan Makanan Untuk Masa Hadapan dan Memperkasa Masyarakat Peladang, Penternak dan Nelayan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 November ini.

“Antara teknologi yang akan dipamerkan adalah teknologi dron, prototaip teknologi kejuruteraan pertanian untuk sistem pertanian pintar serta model sistem pengairan dan saliran pertanian, serta asuhan ikan marin seperti ikan kerapu dan siakap,” katanya. – Utusan

 

Author

Pilihan Editor