HomeBeritaOp BPT: 78 pemeriksaan dilakukan ke atas kilang, pemborong beras di 5...

Op BPT: 78 pemeriksaan dilakukan ke atas kilang, pemborong beras di 5 negeri

KUALA LUMPUR: Sebanyak 78 pemeriksaan telah dilakukan ke atas kilang dan pemborong beras di lima negeri di Semenanjung melalui Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (Op BPT), setakat ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata negeri berkenaan ialah Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan serta Johor dengan membabitkan pemeriksaan ke atas 42 kilang dan 36 pemborong beras.

“Kawalselia Padi dan Beras (KPB) juga sudah melantik ketua bagi setiap zon di Semenanjung bagi tujuan penyelarasan operasi pemeriksaan pada peringkat negeri, iaitu Zon Utara, Timur, Tengah dan Selatan.

“Selain pemeriksaan perlu giat dilakukan, saya juga meminta pihak KPB untuk terus mengekal dan meningkatkan keberadaan BPT dalam pasaran, terutama di pasar raya besar serta kedai runcit,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Taskforce Op BPT di Wisma Tani, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menghadiri mesyuarat itu turut memaklumkan 31,100 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negara menerusi Op Jamin sejak 7 Julai lalu, dengan 10 kes diambil tindakan oleh KPDN.

“Penghargaan dizahirkan kepada pihak KPDN, terutama Timbalan Menteri, Fuziah Salleh atas kesungguhan dan kegigihan kementerian yang sama-sama mengambil berat serta memandang serius isu bekalan beras.

“Isu keterjaminan makanan, termasuk kestabilan bekalan beras (makan ruji rakyat Malaysia) adalah tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya sambil memaklumkan bahawa orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan atau maklumat mengenai isu bekalan beras melalui talian hotline 03-88702393/2207. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor