HomeGlobalIndonesia bimbang, trend umrah secara 'backpacker' meningkat

Indonesia bimbang, trend umrah secara ‘backpacker’ meningkat

 

AKTIVITI menunaikan umrah secara kembara atau lebih mesra dengan istilah ‘backpacker’ dilihat semakin mendapat sambutan tinggi dalam kalangan masyarakat di Indonesia.

Perkara itu didedahkan Pejabat Wilayah Kementerian Agama Daerah Istimewa Yogyakarta yang turut bimbang kerana perkara sedemikian boleh mencetuskan pelbagai risiko.

Ketua Bidang Penyelenggaraan Haji dan Umrah Yogyakarta, Aidy Johansyah berkata, aktiviti umrah secara kembara itu termasuk dalam kategori umrah bukan prosedur atau tanpa melalui badan yang sewajarnya, lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya lagi, umrah tanpa prosedur itu berisiko kerana tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan perlindungan daripada kerajaan serta agensi berdaftar.

Malah, bakal jemaah umrah berkemungkinan terkandas sebaik sahaja tiba di tanah suci kerana tidak mempunyai dokumen yang lengkap berikutan semuanya dilakukan sendiri tanpa sebarang prosedur.

“Trend melakukan umrah secara kembara ini semakin meningkat, kerana ramai yang berpandangan cara ini lebih murah dan menyeronokkan.

“Perkara itu mungkin tidak lagi berbaloi sekiranya jemaah itu jatuh sakit dan terkandas di tanah suci,” katanya.

Sebagai langkah usaha mengurangkan risiko sedemikian, Aidy menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan akan mengerahkan semua anggota polis supaya memantau media sosial yang menjadi platform iklan atau tawaran melakukan umrah secara kembara.

Jelasnya, setiap rakyat Indonesia yang beragama Islam mempunyai hak dan keistimewaan untuk melakukan umrah dan haji mengikut prosedur rasmi.

“Kita ada cara yang sebetulnya, kenapa perlu ikut cara yang susah? Jangan jadikan tanah suci itu tempat kita terkandas, tempat kita dapat susah,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor