GAZA: Kumpulan pemantau data rangkaian masa nyata menunjukkan bahawa sambungan internet sedang dipulihkan di Semenanjung Gaza.
Perkara itu dimaklumkan kumpulan pemantau internet NetBlocks menerusia laman sosial X.
Beberapa wartawan di Gaza juga memaklumkan mereka sudah boleh membuat panggilan telefon dan mengakses media sosial.
Rangkaian komunikasi di Gaza terputus sejak petang Jumaat lalu.
Masalah itu menyebabkan Gaza hampir terputus sepenuhnya daripada dunia luar ketika Israel mengumumkan sudah memulakan peringkat kedua perang yang panjang dan sukar dengan Hamas.
Semalam, Penasihat Kanan Benjamin Netanyahu, Mark Regev memberitahu program BBC’s Today bahawa ia adalah tingkah laku standard untuk mengganggu komunikasi musuh.
Ditanya secara langsung sama ada Israel sengaja memutuskan komunikasi ke Gaza, Regev bagaimanapun tidak mengakui perkara itu.
“Saya tidak berkata begitu. Saya hanya berkata bahawa ia adalah amalan biasa yang dilakukan oleh tentera demokratik Barat,” katanya. – Utusan