ISRAEL dan kumpulan bersenjata Lubnan, Hizbullah terlibat dalam satu lagi pusingan pertempuran bersenjata pada hari Ahad, ketika kebimbangan berkaitan tercetusnya perang kedua dalam perang Israel-Gaza semakin memuncak.
Hizbullah pada pagi Ahad berkata, ia telah “menyasarkan pusat tentera musuh Zionis di kawasan Shtula dengan peluru berpandu”.
Dalam satu kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata, salah seorang pejuangnya telah meninggal dunia pada Ahad.
Hizbullah berkata, serangan itu sebagai tindakan balas terhadap “pencerobohan Israel” yang berasingan iaitu yang membunuh dua orang awam dan menyerang wartawan, membunuh seorang juruvideo Reuters dan mencederakan yang lain.
Tentera Lubnan menyalahkan roket Israel yang memusnahkan sebuah kereta milik wartawan. Tentera Israel berkata, ia sedang “meneliti” siapa yang melancarkan serangan itu.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Al Qassam berkata pada Ahad, ia melepaskan 20 roket dari Lubnan ke atas dua penempatan Israel.
Pada Ahad, misi pengaman PBB di Lubnan (Unifil) telah terkena roket sesat. Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berkata, tiada siapa yang cedera.
Tentera Israel menutup kawasan sempadan kepada orang awam apabila tembak-menembak dengan Hizbullah dan puak sekutu Palestin di Lubnan semakin rancak, mengorbankan lebih 10 orang di Lubnan dan sekurang-kurangnya dua di Israel sejak Ahad lalu.
Tentera Israel “bertindak balas dengan tembakan dan memusnahkan kedudukan Hizbullah dan punca tembakan”, kata seorang jurucakap tentera.
“Selain itu, terdapat tembakan pada kedudukan tentera Israel. Tiada kemalangan jiwa.”
Dia berkata, tentera Israel bertindak balas dengan tembakan.
“Selaras dengan penilaian situasi dan insiden tembakan baru-baru ini di utara Israel, kawasan sehingga empat kilometer (2.5 batu) dari sempadan utara dengan Lubnan telah ditutup,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan lain.
Tembakan rawak
Menteri pertahanan Israel berkata pada Ahad bahawa Israel tidak berminat untuk melancarkan perang di bahagian utaranya dan jika kumpulan Lubnan Hizbullah menahan diri maka Israel akan mengekalkan keadaan di sepanjang sempadan sebagaimana adanya.
Tembakan rawak merentasi sempadan Israel-Lubnan sejak seminggu lalu telah menimbulkan kebimbangan bahawa pertempuran dengan militan Hamas di Gaza boleh meningkat kepada konflik yang lebih luas.
Pada petang Ahad, siren berbunyi di seluruh utara Israel, menyebabkan penduduk berlari mencari perlindungan, dan tentera berkata, ia memintas lima daripada sembilan roket yang dilepaskan dari Lubnan. Ia kemudian bertindak balas dengan tembakan artileri di kawasan dari mana roket dilancarkan.
“Kami tidak berminat dalam peperangan di utara. Kami tidak mahu meningkatkan ketegangan,” kata Menteri Pertahanan, Yoav Gallant kepada pemberita.
“Jika Hizbullah memilih jalan peperangan, ia akan membayar harga yang sangat mahal. Sangat berat. Tetapi jika ia menghalang dirinya, kami akan menghormatinya dan mengekalkan keadaan seperti itu,” kata Gallant, sambil menyatakan bahawa berlaku berbalas tembakan merentasi sempadan.
Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan memberi amaran pada Ahad tentang risiko konflik meningkat di Timur Tengah, dan berkata, AS cuba mencari laluan selamat untuk warga Amerika keluar dari Gaza ke Mesir.
Sullivan, yang bercakap dengan ‘Face the Nation’ CBS, berkata, AS memberi tumpuan untuk memastikan penduduk awam yang meninggalkan Gaza mendapat akses kepada makanan, air dan tempat tinggal, dan mereka boleh masuk ke kawasan selamat.
“Terdapat risiko peningkatan konflik ini, tercetus perang kedua di utara dan, sudah tentu, penglibatan Iran,” kata Sullivan.
Menurutnya, AS tetap bimbang tentang pasukan proksi dan Hizbullah Lubnan.