HomeGlobalIsrael serang rakyat Palestin guna bom fosforus

Israel serang rakyat Palestin guna bom fosforus

PALESTIN pada Selasa mendakwa bahawa, rejim pengganas Israel bertindak menggunakan bom fosforus putih ketika melakukan serangan udara di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

“Israel menggunakan senjata yang diharamkan di peringkat antarabangsa ke atas rakyat Palestin di kawasan Karama dekat utara Gaza,” kata Kementerian Luar Palestin di laman X.

Pengasas European Observatory for Human Rights, Rami Abdo, menyiarkan klip video di platform X yang didakwanya menunjukkan penggunaan bom fosforus oleh Israel.

“Pasukan tentera Israel menggunakan (bom) fosforus putih beracun di kawasan berpenduduk padat di barat laut Bandar Gaza,” tulisnya.

Kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di New York, Pemerhati Hak-Hak Asasi Manusia, sebelum ini memetik laporan mengenai dakwaan penggunaan bom fosforus putih oleh Israel di Gaza, semasa konflik pada masa lalu.

Penggunaan senjata fosforus putih untuk menghasilkan tabir asap dan melindungi pergerakan tentera diterima secara sah, tetapi Konvensyen Geneva 1980 melarang penggunaannya di kawasan yang padat dengan penduduk.

Tiada komen daripada Israel mengenai dakwaan itu.

Serangan mengejut pelbagai serampang oleh Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) ke atas Israel yang dilancarkan sebelum subuh pada Sabtu menyebabkan ribuan terkorban di kedua-dua pihak.

Lebih 1,200 orang di Israel maut, selepas pejuang Hamas menyusup masuk ke komuniti selatan, sebelum mengheret 100 tebusan kembali ke Gaza.

Sebagai tindak balas, Israel mengebom Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 900 orang terbunuh, setakat ini.

Menurut jurnal perubatan, yang dipetik oleh Pemerhati Hak-Hak Asasi Manusia, “fosforus putih boleh menyebabkan kecederaan serius dan kematian apabila ia bersentuhan dengan kulit, terhidu atau ditelan.”

Author

Pilihan Editor