HomeGlobal'Jangan paksa rakyat Palestin jadi pelarian'

‘Jangan paksa rakyat Palestin jadi pelarian’

RAJA Jordan Raja Abdullah II memberi amaran kepada mana-mana pihak, supaya tidak memberi tekanan kepada rakyat Palestin untuk menjadi pelarian ke Mesir atau Jordan.

Menerusi sidang akhbar pada Selasa, Abdullah berkata, situasi kemanusian yang semakin memuncak di Palestin ketika ini mesti ditangani di dalam Gaza atau Tebing Barat.

“Saya fikir itu adalah rancangan sesetengah pihak untuk mencipta isu de facto di lapangan.

“Tiada pelarian di Jordan, tiada pelarian di Mesir,” tegasnya seperti dilapor Arab News.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin.

Katanya, para pemimpin perlu meneruskan perbincangan untuk menghentikan keganasan dan membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza.

Sebelum ini, Diplomat Israel, Danny Ayalon dilapor mengeluarkan kenyataan angkuh dengan menyatakan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza boleh berpindah ke Gurun Sinai di Mesir.

Ayalon membuat kenyataan itu susulan arahan dikeluarkan Israel, yang memberi tempoh 24 jam kepada penduduk meninggalkan utara Gaza dan berpindah ke bahagian selatan berhampiran Mesir.

Arahan itu dikeluarkan kononnya bagi memudahkan rejim Zionis melakukan operasi pembersihan ke atas kedudukan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), tanpa perlu membunuh nyawa orang awam.

Dalam perkembangan lain, Raja Abdullah menyalahkan Israel atas letupan di hospital Gaza, yang mengorbankan kira-kira 500 rakyat Palestin pada Selasa.

Beliau menyifatkannya sebagai “memalukan manusia” serta menggesa Israel untuk segera menamatkan serangan ke atas Gaza.

Malah, Raja Abdullah turut memberi amaran tentang situasi yang lebih teruk akan melanda Timur Tengah, sekiranya konflik antara Hamas dan Israel dibiarkan merebak ke negara lain.

Ketika pertemuannya dengan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier di Berlin, Raja Abdullah bercakap mengenai keadaan kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza akibat kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.

Beliau juga menolak sebarang percubaan untuk memindahkan penduduk Palestin secara paksa.

Tegasnya, tindakan sedemikian akan menjerumuskan Palestin ke dalam bencana lain serta kitaran baharu keganasan dan kemusnahan.

Justeru, beliau menggesa agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang menjamin perlindungan orang awam perlu dilaksanakan.

Katanya, ini bagi memastikan keamanan yang adil dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara.

Author

Pilihan Editor