KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang tidak melihat secara keseluruhan wawancara beliau bersama CNN baru-baru ini, sebaliknya sekadar merujuk kepada jawapan yang sudah disunting.
Justeru, Perdana Menteri menyarankan Hamzah (PN-Larut) supaya membawa secara keseluruhan wawancara beliau bersama Christiane Amanpour yang dibuat ketika beliau menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
“Saya syorkan Yang Berhormat Larut lihat keseluruhan temubual dan tidak (rujuk jawapan) ‘cut and paste’ (potong dan tampal) yang dibuat.
“Kita telah pun tunjukkan (laporan) yang dikeluarkan CNN yang memberikan liputan sepenuhnya jawapan, tetapi ada unsur khianat yang sengaja memotong (untuk) menunjukkan tiada jawapan (menyeluruh diberikan).
“Saya harap kalau Yang Berhormat (YB) jangan baca dari (laporan) ‘cut and paste’ (potong dan tampal). Baca yang sepenuhnya,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab komen Hamzah yang menyentuh mengenai wawancara bersama CNN itu ketika memberikan soalan tambahan berkaitan kerangka dasar Ekonomi MADANI. – Berita Harian