JEPUN menggesa Arab Saudi dan negara pengeluar minyak yang lain untuk meningkatkan pengeluaran bekalan minyak mentah masing-masing.
Menurut Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuni, perkara tersebut penting bagi menstabilkan pasaran minyak global susulan pengeboman Israel secara berterusan ke atas Gaza, dijangka bakal meningkatkan harga dan menjejaskan kestabilan pasaran bahan mentah itu.
“Kerajaan Jepun akan mendesak negara pengeluar minyak untuk menstabilkan pasaran minyak mentah global dengan meningkatkan pengeluaran dan melabur dalam kapasiti pengeluaran.
“Arab Saudi juga perlu mengeluarkan lebih banyak petroleum supaya pasaran minyak mentah antarabangsa dapat distabilkan,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Khamis.
Lapor Middle East Monitor, permintaan Jepun dibuat selepas khuathir serangan bom Israel ke atas Semenanjung Gaza akan menjejaskan kestabilan pasaran, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi global.
Setakat ini, jumlah rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan Israel adalah kira-kira 3,859 orang, manakala sekurang-kurangnya 13,500 lagi mengalami kecederaan.
Rejim Israel melancarkan serangan berterusan sejak 7 Oktober lalu, sebagai tindak balas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang melancarkan Operasi Banjir Al-Aqsa secara mengejut.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.
Malah, lebih 1.1 juta rakyat Palestin juga dikerah dan dipaksa untuk berpindah dari Gaza.