SUNGAI PETANI: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah (JINK) menahan seramai lima warga asing, di kawasan pasar malam di Lorong Gamelan 2, Taman Ria Jaya, di sini pada Selasa lalu.
Pengarah JINK, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, penahanan itu dibuat selepas mengenalpasti gerai jualan yang disyaki terlibat menggaji pekerja warga asing, dalam Ops Jaja pada jam 6 petang.
Semasa serbuan dibuat, katanya, seramai enam warga asing berusia antara 15 tahun hingga 45 tahun telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati, seorang lelaki warganegara Myanmar memiliki kad UNHCRÂ (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian) yang masih sah dan dibebaskan.
“Sementara itu, seramai empat lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara India dipercayai melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa balik ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Alor Setar, seterusnya ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, dekat Sik, Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut, ” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 1 Oktober lalu, video tular yang dimuat naik di akaun YouTube ‘Waniey Channel‘, memaparkan penduduk tempatan menghalau peniaga warga asing di pasar malam terbabit.
Setakat ini, video berdurasi 5 minit itu sudah pun memperoleh lebih 20,582 tontonan.
Mengulas lanjut, Mohd Ridzzuan berkata, JINK akan sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat yang diberikan orang awam.
Beliau berkata, JINK juga tidak sama sekali berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalahgunakan pas serta melakukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral di negara ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin,” katanya.