HomeGlobalJP Morgan beri amaran dunia mungkin hadapi fasa berbahaya

JP Morgan beri amaran dunia mungkin hadapi fasa berbahaya

NEW YORK: JP Morgan memberi amaran bahawa dunia mungkin sedang menghadapi `fasa paling berbahaya’ yang pernah disaksikan dalam tempoh beberapa dekad ketika konflik Israel-Hamas kembali tercetus.

Lapor The Guardian, Ketua Pegawai Eksekutif JP Morgan, Jamie Dimon berkata, konflik yang semakin memuncak itu boleh memberi impak meluas terhadap harga tenaga, kos makanan, perdagangan antarabangsa dan hubungan diplomatik.

Beliau menyatakan demikian ketika JP Morgan Chase yang merupakan bank terbesar Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan laporan pendapatan suku terakhir tahun.

Walaupun pemberi pinjaman mencatatkan keputusan yang kukuh, Dimon memberi amaran bahawa kadar faedah mungkin meningkat lagi di AS apabila simpanan pengguna semakin berkurangan.

“Perang di Ukraine, ditambah lagi dengan konflik Palestin-Israel pada minggu lalu, mungkin memberi kesan meluas terhadap pasaran tenaga dan makanan, perdagangan global dan hubungan geopolitik.

“Ini mungkin fasa paling berbahaya yang pernah dilihat dunia dalam tempoh beberapa dekad.

“Walaupun kami mengharapkan yang terbaik, kami mempersiapkan firma berdepan pelbagai situasi agar dapat menyampaikan kepada pelanggan secara konsisten tanpa mengira situasi dihadapi,” katanya.

Minggu lalu, Dimon mengesahkan kakitangan JP Morgan yang bekerja di Israel adalah selamat.

Dalam satu memo, beliau juga mengakui konflik yang berlaku di Asia Barat akan mempunyai kesan besar yang melangkaui rantau itu. – Utusan

Authors

Pilihan Editor