“Saya akan ambil tawaran sekiranya watak yang diberikan itu memang betul-betul karakter yang saya ingin bawakan”.
Itulah yang diungkapkan pelakon, Zizan Razak ketika diajukan soalan sama ada dia akan menerima sesuatu tawaran watak itu berdasarkan kadar bayaran atau sebaliknya.
Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 39, menyatakan keterbukaannya untuk berlakon dalam sebuah projek dengan bajet kecil sekiranya skrip yang dihasilkan bagi naskhah itu berkualiti.
“Soal harga, memang pengurus saya yang berurusan dengan pihak produksi.
“Tapi sejujurnya, kalau saya sudah berkenan dengan skrip, saya tidak kisah untuk berlakon walaupun produksi memiliki bajet yang rendah,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Malah, Zizan turut menyatakan bahawa kepuasan membawa sesebuah watak yang diinginkan itu lebih penting buatnya pada ketika ini.
“Saya tidak sentuh sangat tentang bajet. Kepuasan saya ialah pada nilai lakonan,” ujarnya.
Dalam pada Zizan yang bakal muncul dalam drama ‘Super Wira’ menzahirkan keterujaannya bekerjasama dengan Ghaz Abu Bakar.
“Drama super hero seperti ini akan memberi impak kepada anak-anak. Saya ingin beri kejutan kepada mereka walaupun kemunculan saya tidak banyak.
“Kedua, saya juga sudah lama tidak bekerja bersama Ghaz Abu Bakar,” tambahnya.
Super Wira menceritakan tentang seorang adiwira bernama Kapten Gemilang yang jalan ceritanya diolah dengan elemen kenegaraan.
Turut sama menjayakan drama bersiri tujuh episod ini ialah Beto Kusyairy, Nadhir Nasar, Arena Wan, Mira Filzah dan Ezzaty Abdullah.