ALOR GAJAH: Dua pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel didakwa mencabul kehormatan seorang kedi wanita di sebuah kelab golf di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Abu Samah berkata, kedua-dua individu itu, masing-masing berusia 51 dan 52 tahun, yang bertugas di sebuah kem tentera di Negeri Sembilan, telah dipanggil memberi keterangan.
“Polis menerima laporan pada 5 Oktober lalu daripada wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai kedi di kelab golf berkenaan yang mendakwa dicabul oleh dua lelaki sewaktu sedang bertugas.
“Dua suspek itu kemudian dipanggil untuk membantu siasatan selain kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan susulan laporan oleh mangsa wanita itu,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis turut menerima dua laporan yang dibuat oleh salah seorang suspek serta rakan sekerja mangsa.
“Salah seorang suspek kemudian tampil membuat laporan yang menafikan kejadian itu selain pihak polis turut menerima laporan daripada rakan sekerja mangsa yang juga seorang wanita berusia 35 tahun.
“Wanita itu menyatakan tidak melihat kejadian berkenaan dan pihak polis setakat ini masih meneruskan siasatan lanjut,” tambahnya. – Awani