HomeBeritaJerebu: Cheras, Bukit Rambai, Batu Pahat, Larkin catat IPU tidak sihat

Jerebu: Cheras, Bukit Rambai, Batu Pahat, Larkin catat IPU tidak sihat

CYBERJAYA: Cheras kekal sebagai kawasan tertinggi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 169, setakat jam 9 pagi hari ini.

Berdasarkan laporan di laman Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, kawasan yang turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Batu Pahat, Johor (158), Bukit Rambai, Melaka (156) dan Larkin, Johor (137).

APIMS turut mencatatkan bacaan IPU di 60 stesen lain pada tahap sederhana.

Sementara itu, empat kawasan di Sabah iaitu Keningau, Sandakan, Kota Kinabalu dan Kimanis masih mempunyai kualiti udara yang baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Bagaimanapun semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan situasi jerebu di negara ketika ini tidak akan berpanjangan berikutan tiupan angin yang kerap berubah.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata jika jerebu berterusan dan keadaan kualiti udara semakin merosot, iaitu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 151 hingga 200 melebihi 24 jam, kementerian melalui METMalaysia bersedia untuk melakukan Operasi Pembenihan Awan.

Author

Pilihan Editor