REJIM pengganas Israel bakal memaksa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk meninggalkan tanah air mereka dan menjadi pelarian di wilayah Sinai, Mesir dan sebahagian kawasan di Jordan.
Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian berkata, ia merupakan matlamat terakhir Israel sebagai ugutan untuk mengakhiri serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Hossein membuat kenyataan itu menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Sameh Shoukry pada Ahad.
“Matlamat akhir rejim Israel adalah dengan mengarahkan pemindahan paksa penduduk Gaza dan Tebing Barat ke Sinai di Mesir dan sebahagian Jordan.
“Malah, Tel Aviv cuba membentuk kerajaan di Palestin, namun ia mendapat tentangan dan menjadi halangan yang tidak membenarkan impian Zionis menjadi kenyataan,” katanya seperti dilapor Press TV.
Hossein berkata, Iran juga menyatakan kesediaan Persatuan Bulan Sabit Merah untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza melalui Mesir.
Dalam perbualan sama, Hossein turut memuji usaha Mesir untuk menghentikan serangan Israel ke atas Gaza, serta membuka jalan untuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk di wilayah itu.
Sementara itu, Sameh berkata, Mesir terus membantah serangan berterusan rejim pengganas Zionis selain menegaskan bahawa negara Palestin mesti dikekalkan.
Rejim Israel melancarkan serangan berterusan sejak 7 Oktober lalu, sebagai tindak balas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang melancarkan Operasi Banjir Al-Aqsa secara mengejut.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, angka kematian rakyat negara itu akibat serangan rejim Zionis setakat ini adalah lebih daripada 4,650 orang, dengan kira-kira 1,870 daripadanya adalah kanak-kanak, 1,000 kaum wanita dan hampir 200 lagi merupakan warga emas.
Lebih 14,000 rakyat Palestin juga mengalami kecederaan sejak serangan awal bulan ini.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.
Malah, lebih 1.1 juta rakyat Palestin juga dikerah dan dipaksa untuk keluar dari Gaza.