CYBERJAYA: Kini bukan lagi masa untuk pengundi Felda di Pelangai bernostalgia dengan segala jasa UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Ahmad Fadhli Shaari.
Sebaliknya, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu mengingatkan peneroka mengenai budi Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri, yang memberi cadangan penyelesaian hutang kepada Felda.
“Kita tahu bagaimana jasa Muhyiddin sebagai perdana menteri Malaysia mewakili PN dari 2020 hingga 2021 yang mengemukakan teori penyelesaian hutang yang ditanggung oleh peneroka Felda.
“Dan ini perkara yang tidak boleh dinafikan walaupun tahu Perdana Menteri ke-10 hadir dengan pelbagai teorinya bahawa, dialah yang menyelesaikan masalah, dialah yang mengemukakan penyelesaian, tetapi tuan-tuan pun tahu perkara yang tidak boleh dinafikan memberi penyelesaian kepada masalah (Felda ialah) Muhyiddin.
“Sekarang ini bukan lagi zaman untuk terhutang budi dengan UMNO, BN.
“Saya tahu saya faham tuan-tuan yang ada di Felda khususnya saluran satu dan saluran dua rasa terhutang budi dengan Umno, BN. Kita rasa nak bayar balik jasa mereka,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Beliau berkata demikian ketika ceramah mega PN di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, dekat Bentong, Pahang pada Isnin malam.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli mendakwa, UMNO kini sudah hilang arah tuju perjuangannya apabila terpaksa bekerjasama dengan DAP bagi meneruskan kelangsungan politiknya.
“Minta maaflah bukan saya nak serang UMNO, bukan saya nak perlekehkan UMNO, BN tetapi di bawah kepimpinan Ahmad Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) hari ini, UMNO sudah hilang hala tuju dan sudah pun tenggelam jati dirinya.
“Mereka terpaksa berkongsi kuasa di peringkat nasional bahkan di peringkat negeri pun dengan orang yang selama ini mereka serang, mereka jadikan musuh,” ujarnya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.