HomeBeritaMenteri Agama nasihat Howard Lee isu tafsir al-Quran

Menteri Agama nasihat Howard Lee isu tafsir al-Quran

CYBERJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sudah pun memberi nasihat kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How supaya berhati-hati dalam menafsir ayat al-Quran.

Mohd Naim berkata, perkara itu penting bagi mengelak daripada berlaku perkara boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat, terutama di zaman media sosial ketika ini.

“Howard Lee hadir mengunjungi saya di Casuarina Kuala Kangsar.

“Dia bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Menurutnya, pertemuan pada malam Isnin itu juga secara tidak langsung membina persefahaman bahawa Islam tetap wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.

Sebelum ini, Howard Lee mencetuskan kontroversi apabila membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran hingga menjadi pertikaian ramai pihak.

Pada 26 September lalu, ahli politik DAP itu tampil membuat permohonan maaf selepas beliau selesai memberi keterangan berkaitan isu itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Author

Pilihan Editor