CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengambil tindakan tatatertib tegas terhadap pihak yang menganjurkan program memaparkan unsur keganasan, termasuk penggunaan replika senjata di sekolah.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, KPM juga sewajarnya menghalang sebarang program seumpama itu daripada berulang.
Menurutnya, DAP amat terkilan dengan penganjuran program di sebuah sekolah rendah memaparkan unsur-unsur keganasan dan ekstremisme, dengan penggunaan replika senjata seperti yang tular di media sosial pada Jumaat.
“DAP menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program yang mempamerkan unsur-unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah yang melibatkan murid-murid pada usia yang muda.
“Program seumpama itu hanya akan memberikan mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda kita,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau mencadangkan supaya KPM mempertimbangkan semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah, memandangkan insiden tersebut telah menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, KPM perlu menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyampaikan mesej dalam kalangan murid-murid sekolah.
Katanya, program di sekolah sepatutnya memupuk semangat cintakan keamanan sejagat dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam membentuk sahsiah yang selari dengan prinsip-prinsip Madani.
“Hubungan dan pemahaman silang budaya serta perasaan hormat-menghormati sesama rakan sebaya daripada latar belakang berlainan juga harus dipupuk.
“DAP mengulangi pendirian kita untuk terus bersolidariti dengan rakyat Palestin di atas prinsip kemanusiaan dan sentiasa mendukung pendirian kerajaan untuk bersuara lantang di pentas dunia, bagi perjuangan membebaskan Palestin dan mengembalikan hak serta wilayah mereka yang sepatutnya,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar kanak-kanak memegang senjata mainan didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah.
Turut tular adalah video memaparkan guru menggunakan replika senjata dalam sebuah program.
Badan bukan kerajaan (NGO) Global Human Rights Federation (GHRF) dilapor mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai ‘mengejutkan dan menakutkan’.
Malah, beberapa NGO membantah arahan supaya sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini.
Namun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, penganjuran program menggunakan replika senjata di sebuah sekolah itu adalah di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin.
Pada masa sama, program tersebut juga sama sekali tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan KPM.