HomeHiburanKonsert ulang tahun ke-33 Damasutra gegarkan Zepp KL

Konsert ulang tahun ke-33 Damasutra gegarkan Zepp KL

KUALA LUMPUR: Legenda rock, Damasutra tampil melakukan ‘come back‘ apabila menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL) pada Jumaat.

Konsert bagi menyambut ulang tahun ke-33 kumpulan itu diadakan di hadapan kira-kira 1,000 peminat tanah air.

D’Ultimate 6 tampil membuat persembahan pembukaan.

Sebelum konsert dimulakan, pentas terlebih dahulu dibuka oleh kumpulan D’Ultimate 6, bagi menghiburkan penonton menerusi persembahan pembukaan.

Suasana Zepp KL semakin meriah dengan jeritan penonton, apabila Damasutra memulakan nyanyian single berjudul Sembunyi.

Antara peminat yang hadir memeriahkan konsert tersebut.

Antara lagu yang menjadi alunan Damasutra pada malam itu adalah Selamba, Antara Sutra dan Bulan, Sayangku, Seribu Bayangan, Sufi, Sembrono, Sesat Dalam Rindu, Kamasutra, Iguan Kota, Dalam Kembara Asmara, serta Aku dan Zen.

Umpama Mimpi Dalam Mimpi merupakan single ‘berhantu’ yang paling dinanti-nantikan peminat dan menjadi lagu terakhir pada konsert tersebut.

Namun, paling mendapat perhatian adalah buah tangan kumpulan itu berjudul Impianku, sebagai tanda memperingati perjuangan dan penderitan rakyat Palestin ketika ini.

Persembahan itu turut diiringi latar belakang pencahayaan warna hijau, merah dan putih yang menjadi warna bendera Palestin serta tulisan ‘Free Palestine’ (Bebaskan Palestin).

.
Konsert tersebut turut menyatakan solidariti buat Palestin.

Menurut Pengarah Urusan Ultimate Media, Ekmal Syahrim Md Nor, 10 peratus daripada hasil kutipan tiket konsert itu akan disalurkan kepada Tabung Kecemasan Palestin, Malaysian Relief Agency (MRA).

Beliau berkata, sumbangan itu dibuat sebagai tanda prihatin dan solidariti kepada nasib rakyat Palestin.

“Kita akan buat majlis kecil-kecilan. Kita akan menyumbang 10 peratus kepada NGO Malaysia Relief Agency. Nanti kita akan buat satu pengumuman,” katanya.

Baggio kekal sebagai vokalis asal Damasutra menggegarkan konsert pada Jumaat.

Konsert 33 Tahun Damasutra dianjurkan oleh Ultimate Media dan dibarisi ahli kumpulan asal iaitu Baggio (vokalis), Amran (bass) dan Assu (drum).

Turut melengkapkan persembahan mereka pada malam itu adalah pemain gitar baharu, Rizal yang menggantikan Allahyarham Alok selain John Boy (gitaris NG), yang telah diundang untuk menjayakan konsert termasuk Nicole (pemain keyboard).

Untuk rekod, Damasutra menyambut ulang tahun ke-33 kumpulan itu selepas ditubuhkan pada 1990.

Author

Pilihan Editor