KUALA LUMPUR: Malaysia disarankan untuk meningkatkan usaha diplomatik bagi menjuarai isu Palestin menerusi beberapa langkah.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, ia antara lain dengan melakukan desakan ke atas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk mengeluarkan resolusi bagi penubuhan pasukan perlindungan antarabangsa.
Mengambil kira pengaruh Malaysia di arena antarabangsa, Walid menganggap negara ini berpotensi untuk menyokong resolusi berkenaan, yang bertujuan melindungi penduduk Palestin daripada keganasan berterusan serta pencabulan hak asasi manusia oleh rejim pengganas Israel.
Ketika pertemuannya dengan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Walid berkata, beliau sudah pun menyampaikan permintaan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang menggesa masyarakat antarabangsa menyediakan pasukan perlindungan antarabangsa kepada penduduk Palestin.
Bagi mencapai matlamat berkenaan, beliau mencadangkan Malaysia membangkitkan resolusi berkenaan kepada OIC atau PBB, memandangkan pengaruh yang dimiliki Malaysia dapat memberikan impak besar.
“Saya 100 peratus yakin bahawa (kerajaan Malaysia) boleh memainkan peranan, jika diimbas beberapa tahun lalu, Malaysia menaja resolusi di PBB bersama dengan negara lain, New Zealand, Colombia dan Senegal, kita berjaya dengan empat negara… dalam meluluskan resolusi yang memberi manfaat kepada Palestin.
“Untuk menghentikan kemusnahan Israel ke atas penduduk kami, dan mereka berjanji akan mengkajinya. Maka Insya-Allah, dengan mesyuarat OIC, Malaysia akan membawa resolusi ini di hadapan semua 57 negara Islam, atau menerusi Kumpulan ASEAN atau sesuatu yang boleh dilakukan yang amat dihargai, dan (yang) penting boleh membantu penduduk Palestin serta (melegakan) penderitaan mereka,” katanya seperti dilapor Scoop pada Selasa.
Mengulas lanjut, Walid berkata, salah satu elemen penting dalam pendirian Malaysia ialah kurangnya hubungan diplomatik dengan Israel, sehingga ia mengiktiraf secara rasmi penubuhan negara Palestin yang bebas dengan Al-Quds (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara.
Walid memuji pendirian ini dan menyatakan harapannya agar Malaysia terus terlibat dalam menangani situasi buruk di Palestin.
Walid turut mengetengahkan gesaan antarabangsa, termasuk gesaan oleh Presiden Palestin dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung PBB pada September lalu.
Di sebalik gesaan penting itu, Walid berkata, komuniti antarabangsa masih belum memberikan tindak balas yang berkesan terhadap krisis berterusan di Gaza.
Sehingga kini, konflik di Gaza mengorbankan lebih 2,300 nyawa dengan hampir 10,000 yang lain mengalami kecederaan.
Walid berkata, dianggarkan setengah juta penduduk Palestin kini tidak mempunyai tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dengan sekolah dan masjid turut dijadikan sasaran.
Malah, katanya, petugas kesihatan turut tidak terlepas dengan sekurang-kurangnya 25 terbunuh dalam keganasan yang berterusan ini.
Walid turut menggesa campur tangan antarabangsa, selain kesal dengan tindak balas perlahan daripada PBB dan OIC.
Mengulas mengenai mesyuarat OIC yang berlangsung pada Rabu, Walid mempersoalkan alasan ia mengambil masa selama hampir dua minggu untuk membincangkan isu Palestin, ketika Gaza berdepan situasi sukar.
Beliau merujuk kepada sejarah penubuhan OIC, berikutan serangan ekstremis ke atas Masjid Al-Aqsa, dan menggesa tindak balas yang lebih efektif daripada organisasi antarabangsa terhadap keadaan kritikal dialami penduduk Palestin.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan peranan Malaysia dalam menyokong penyelesaian konflik secara aman dan penubuhan pasukan perlindungan antarabangsa.
“Ia adalah permintaan saya kepada Speaker dan Menteri Luar, jika mereka boleh membangkitka resolusi untuk menyediakan penduduk Palestin dengan pasukan perlindungan antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan, jenayah dan perlanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel,” katanya.