HomeSukanDituduh terlibat kumpulan pengganas, Perancis bakal buang kerakyatan Karim Benzema?

Dituduh terlibat kumpulan pengganas, Perancis bakal buang kerakyatan Karim Benzema?

SEORANG penggubal undang-undang di Perancis mahu bekas bintang Real Madrid, Karim Benzema dilucutkan anugerah Ballon d’Or 2022, manakala kewarganegaraan Perancisnya dibatalkan.

Lapor Agensi Anadolu, perkara itu dibangkitkan selepas timbul dakwaan bahawa penyerang kelab Arab Saudi, Al-Ittihad itu terlibat dengan sebuah organisasi pengganas, Ikhwanul Muslimin.

Senator Bouches-du-Rhone, Valerie Boyer dalam satu kenyataan berkata, kewarganegaraan Karim itu perlu dilucutkan sekiranya terbukti dakwaan Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin benar.

“Tarik balik gelaran Ballon d’Or dan kerakyatannya perlu dilucutkan.

“Kami tidak boleh menerima warga Perancis yang dikenali di peringkat antarabangsa, untuk menghina dan mengkhianati negara dengan cara ini,” katanya.

Dalam satu temubual pada Selasa, Darmanin menuduh pemain itu berkait rapat dengan Ikhwanul Muslimin, beberapa hari selepas Karim menunjukkan sokongannya kepada rakyat Palestin di Gaza.

Sementara itu, Karim sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang, selepas menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia terlibat dengan organisasi pengganas.

Pemain berusia 36 tahun itu berketurunan Algeria dan dilahirkan di Lyon serta memiliki dua kewarganegaraan.

Bekas penyerang Perancis itu juga pernah berkhidmat untuk kelab Olympique Lyon, sebelum berpindah ke Real Madrid pada 2009.

Ketika bersama Perancis, dia menjaringkan 37 gol menerusi 97 penampilan antarabangsa.

Sebelum ini, Karim menyatakan sokongan ke atas rakyat Palestin, susulan serangan berterusan rejim pengganas Zionis di Gaza.

“Semua doa kami adalah untuk penduduk Gaza yang sekali lagi menjadi mangsa pengeboman tidak adil, sekali gus tidak dapat menyelamatkan wanita atau kanak-kanak,” tulisnya di laman X pada Ahad.

 

 

 

Author

Pilihan Editor