KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memutuskan hari ini sama ada membenarkan atau menolak permohonan Pasukan Petugas Khas (STF) dan kerajaan bagi membatalkan saman yang dikemukakan oleh Tan Sri Tommy Thomas terhadap mereka.
Saman itu adalah berhubung laporan siasatan mengenai kandungan memoir bekas Peguam Negara itu yang bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’.
Permohonan STF dan kerajaan itu akan diputuskan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh melalui prosiding sidang video pada jam 2.30 petang ini.
Thomas memfailkan saman pemula pada 27 Oktober tahun lalu dengan memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness’ adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang.
Beliau yang berkhidmat selaku Peguam Negara antara Jun 2018 dan Februari 2020, menamakan pengerusi dan ahli STF serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.
Mereka adalah Pengerusi Datuk Seri JC Fong dan ahlinya Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Suri.
Thomas turut memohon perisytiharan bahawa STF adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.
Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.
Laporan STF yang dinyahklasifikasikan kerajaan pada 13 Oktober tahun lalu antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan telah dilakukannya.
Ia ialah antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pasukan khas itu juga mencadangkan empat langkah yang perlu diambil kerajaan bagi menangkis persepsi umum terhadap campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman atau kekurangan kebebasan kehakiman.
Langkah itu termasuk pindaan ke atas Seksyen 5(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi membolehkan pelantikan empat individu yang dihormati dalam JAC, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara.
Begitu juga, Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya. – Berita Harian