PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) menggesa siasatan punca kematian rakyat Malaysia, Muhammad Izzat Abdul Wahab yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ketika dalam tahanan imigresen Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya meminta ahli keluarga membuat laporan polis, Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Kementerian Luar bagi menggesa siasatan telus untuk mengetahui punca sebenar.
Beliau berkata, Rabu lalu mangsa ada menghubunginya bagi mendapatkan bantuan dan pihaknya meminta wakil badan bukan kerajaan (NGO) di Thailand untuk menyelamatkan mangsa ketika ditahan.
Katanya, Muhammad Izzat dibawa ke pusat imigresen di Myanmar untuk urusan dokumentasi dan selepas itu beliau dilaporkan meninggal dunia disebabkan serangan jantung .
“MHO ada menghubungi ahli keluarga Muhammad Izzat dan mereka memaklumkan arwah tiada rekod penyakit jantung dan perkara ini menimbulkan tanda tanya sama ada benar atau tidak punca kematian disebabkan serangan jantung ataupun ada perkara lain yang ingin disembunyikan pihak berkuasa Myanmar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam media melaporkan, Muhammad Izzat, 28, dari Kuantan, Pahang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan diperdaya untuk ke Bangkok, Thailand pada 7 Oktober lalu sebelum dibawa ke Myanmar.
Beliau kemudiannya diselamatkan pihak NGO selepas meminta bantuan MHO dan kemudiannya diserahkan kepada pihak imigresen Myanmar untuk tujuan dokumentasi.
Bagaimanapun, Muhammad Izzat didakwa meninggal dunia ketika dalam tahanan di pusat imigresen Sabtu lalu.pi
Hisamuddin berkata, MHO akan mengadakan satu pertemuan bersama ahli keluarga Muhammad Izzat dan mengadakan sidang media petang ini bagi membincangkan tindakan selanjutnya.
Katanya, pihaknya juga akan melancarkan tabung bagi membantu menguruskan jenazah termasuk menghantar ahli keluarga arwah ke Myanmar.
“Setakat ini masih belum ada keputusan sama ada jenazah akan dibawa pulang ke tanah air atau dikebumikan di negara berkenaan dan ia bergantung kepada keputusan ahli keluarga,” katanya. – Berita Harian