HomeBeritaMahkamah & JenayahNajib, anak perlu bayar tunggakan cukai RM1.7 bilion

Najib, anak perlu bayar tunggakan cukai RM1.7 bilion

 

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai bagi tahun 2011 dan 2017 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu diperoleh selepas lima panel Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu dan Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan nilai cukai itu.

Mahkamah berkenaan mengekalkan keputusan LHDN untuk penghakiman terus untuk mendapatkan tunggakan berkenaan.

Turut bersidang ialah Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam kes ini, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu dan Nazifuddin sementara Ketua Peguam Cara Hasil, Dr Hazlina Hussain, bagi pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku responden.

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan Nazifuddin tidak hadir semasa prosiding berlangsung.

Najib dan Nazifuddin merayu selepas dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib serta RM37.6 juta daripada Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Pada 10 Mei 2022, mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Rayuan Najib dan Nazifuddin diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan sembilan persoalan undang-undang.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin UMNO itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi. – Sinar Harian

Author

Pilihan Editor