HomeBeritaOrang ramai dah kurang makan di luar - Pemilik kedai makan

Orang ramai dah kurang makan di luar – Pemilik kedai makan

CYBERJAYA: Peratusan pelanggan yang berkunjung makan di kedai makan tempatan dipercayai semakin berkurangan di Lembah Klang sejak kebelakangan ini.

Malah, sebilangan pemilik perniagaan turut menyifatkan corak pembelian pelanggan yang memesan makanan di kedai juga semakin berbeza.

Seorang pemilik restoran di Shah Alam, Hazwandi Hassan, 38, berkata, bilangan pelanggan menurun kira-kira 20 peratus sejak Ogos lalu.

“Orang ramai masih perlu makan, tetapi mereka tidak makan banyak seperti dulu. Contohnya, jika dahulu mereka memesan lima bahagian, kini mereka hanya memesan tiga,” katanya seperti dilapor FMT.

Tambah Hazwandi, penurunan jumlah pelanggan itu membuatkan dia terpaksa membuat pelarasan terhadap tenaga kerjanya berikutan permintaan yang lebih rendah.

“Kami tidak mahu memberhentikan pekerja, tetapi kami telah memutuskan untuk menggilirkan syif mereka untuk mengurangkan kos tenaga kerja,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik restoran di Subang Jaya, Alia Zaisun, 26, turut mengalami nasib yang sama iaitu kurang pelanggan sejak Julai lalu.

Katanya, penurunan itu berkemungkinan disebabkan trend orang ramai yang makan di rumah baru-baru ini atau membawa makan tengahari mereka ke tempat kerja.

Pada masa sama, seorang pemilik kafe di Kuala Lumpur selama 17 tahun, Intan, 60, juga akur dengan kadar penurunan jumlah pelanggan terutama pada hari bekerja sejak Ogos lalu.

Maklumnya, perkara sedemikian berlaku disebabkan oleh peningkatan kos bahan mentah, yang telah menyaksikan banyak pengusaha terpaksa menaikkan harga mereka.

“Sekarang harga gula RM5 sekilogram. Dulu RM2.50, tapi kalau tak naik harga macam mana nak bertahan?” luahnya.

Bagaimanapun, Intan menyatakan bahawa dia memilih untuk mengurangkan saiz portion daripada menaikkan harga.

Katanya lagi, kini dia hanya mampu bergantung kepada pelanggan setianya kerana sudah lama berniaga namun masih bimbang sekiranya perniagaan yang dibukanya itu terpaksa ditutup dek kerana kurang mendapat sambutan pelanggan.

Author

Pilihan Editor