HomeGlobalBrazil isytihar Hamas bukan gerakan pengganas

Brazil isytihar Hamas bukan gerakan pengganas

BRAZIL mengisytiharkan bahawa Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai bukan gerakan pengganas berikutan mengikut garis panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Presiden Brazil, Luis Inacio Lula da Silva berkata, Hamas juga menang bertanding dalam pilihan raya di Semenanjung Gaza.

“Pendirian Brazil adalah jelas. Brazil hanya mempertimbangkan pertubuhan pengganas mengikut resolusi UNSC dan Hamas tidak diiktiraf oleh majlis itu sebagai pertubuhan pengganas.

“Apa yang kita mahu daripada Perdana Menteri Israel (Benjamin Netanyahu) sekarang adalah untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza.

“Nampaknya Netanyahu terlupa bahawa Gaza bukan sahaja diduduki oleh tentera Hamas, tetapi terdapat wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa perang dahsyat ketika ini,” katanya sidang media pada Sabtu.

Lapor Middle East Monitor, beliau turut menekankan pendirian Brazil yang memihak kepada keamanan.

“Perkara yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk mengatasi kekuatan peluru dan sesi dialog. Saya akan terus bercakap mengenai keamanan.

“Kuasa dialog lebih berkesan dan mampu mengalahkan bom yang dihasilkan manusia,” katanya.

Dalam sidang akhbar sama, beliau turut menegaskan komitmen Brazil untuk menyelamatkan rakyatnya yang masih berada di Gaza.

Sebelum ini, beliau menyelar perang berterusan dilancarkan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung dan menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.

“Apa yang berlaku bukanlah peperangan. Ia adalah pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan hampir 2,000 kanak-kanak yang tiada kaitan dengan perang ini. Mereka adalah mangsa kepada perang ini,” katanya.

Awal minggu ini, kerajaan Brazil mengeluarkan kenyataan dan menjelaskan sebab tidak mengklasifikasikan Hamas sebagai pergerakan pengganas.

Menurut kenyataan itu, Brazil mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh UNSC yang mempunyai kuasa dan legitimasi untuk menetapkan sebarang kumpulan sebagai organisasi pengganas.

Seperti yang ditetapkan dalam Perkara 24 PBB, Hamas tidak termasuk dalam senarai entiti seperti Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), Al Qaeda dan Boko Haram.

“Menurut prinsip hubungan antarabangsa yang diperuntukkan dalam Perkara 4 Perlembagaan, Brazil menolak keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya.

“Pendirian Brazil adalah selaras dengan resolusi PBB, membolehkan negara ini menyumbang bersama-sama dengan negara lain atau secara individu kepada resolusi konflik serta memberi perlindungan kepada warga Brazil di zon konflik di Timur Tengah,” kata kerajaan.

Author

Pilihan Editor