HomeBeritaPembentangan RUU GEG: KKM tunggu tarikh baharu daripada Parlimen

Pembentangan RUU GEG: KKM tunggu tarikh baharu daripada Parlimen

 

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) akan diteruskan selepas memperoleh tarikh baharu untuk dibentangkan di Parlimen.

Bacaan kali kedua RUU itu sepatutnya berlangsung petang semalam, namun ditunda kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, sambil meminta supaya media menunggu tarikh baharu pembentangan yang dimaklumkan kelak.

“Kita tunggu tarikh Parlimen,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai penangguhan RUU terbabit.

Penangguhan itu mengundang pelbagai reaksi serta spekulasi khususnya mengenai faktor yang mendorong pembentangan RUU itu di Parlimen ditangguhkan.

Isnin lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual dibentang untuk dibahaskan semalam, ditangguhkan.

Alasan diberikan untuk memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), dengan dan pembentangan RUU ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, KKM menerima baik semua syor dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen berkenaan RUU berkenaan dan ia akan dibentang semula ke Dewan Rakyat untuk dibahas dan diputuskan oleh Ahli-ahli Parlimen.

Keputusan pembentangan sekali lagi itu dibuat hasil keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.

Jun lalu, Zaliha memaklumkan antara sebab RUU itu dirujuk semula ke JKPK Kesihatan berikutan gesaan badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan supaya beberapa perkara di bawah RUU itu diteliti semula.

RUU itu kali kedua dirujuk kepada JKPK Kesihatan selepas kali pertama dibentangkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin pada Ogos tahun lalu, namun Dewan Rakyat membuat keputusan sama meminta supaya ia dirujuk kepada JKPK.

Di bawah RUU dibentang pada Jun lalu itu, kuasa penguatkuasaan luas seperti diperuntukkan dalam draf RUU terdahulu, dihadkan kepada bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk, yang secara langsung mencetus kebimbangan kepada pemain industri rokok elektronik kemungkinan ia akan menyekat perniagaan mereka. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor