HomeGlobalPolis ambil maklum poster tawanan Israel dikoyak, tapi tiada kesalahan dikenal pasti

Polis ambil maklum poster tawanan Israel dikoyak, tapi tiada kesalahan dikenal pasti

SEBUAH video tular memaparkan orang awam di London mengoyakkan poster tawanan Israel yang ditahan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Gaza mencetuskan bantahan pro-Israel di United Kingdom (UK).

Video yang disiarkan editor berita Yahudi, Richard Ferrer itu memaparkan beberapa individu mengoyakkan poster di Dataran Leicester.

Individu yang merakam video bertanya soalan kepada seorang wanita mengenai alasan dia mengoyakkan poster tersebut.

“Anda (Israel) tidak mencintai nyawa manusia,” jawab wanita itu seperti dilapor Middle East Eye.

Dalam video berasingan, dua wanita turut dilihat mengoyakkan poster tawanan Israel di London.

“Ini untuk Palestin!” tegas wanita tersebut bagi memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas.

Identiti individu yang dirakam di dalam video itu tidak dapat dikenal pasti ketika ini, sementara pihak berkuasa mengenal pasti mereka sebagai aktivitis yang tidak diketahui sama ada terlibat dengan sebarang aktiviti politik.

Poster ‘Diculik dari Israel’ pada asalnya dihasilkan oleh Forum Tebusan dan Keluarga Hilang Israel sebelum diedarkan di bandar-bandar di seluruh dunia.

Beberapa pertubuhan Yahudi menyifatkan kejadian itu sebagai satu kebencian dan mempersoalkan pihak polis yang tidak mengambil tindakan.

Jurucakap Polis Metropolitan mengambil maklum mengenai video itu, namun tiada kesalahan dikenal pasti setakat ini.

Menerusi hantaran di laman X, katanya, anggota polis sudah dikerahkan untuk meronda kawasan terlibat.

Rabu lalu, polis juga sedang menyiasat tindakan individu yang melukis misai ala pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler pada poster dua kanak-kanak Israel yang menjadi tawanan.

Pada 7 Oktober lalu, Hamas melancarkan Operasi Banjir Al-Aqsa, dengan melepaskan tembakan roket dan menyusup masuk ke Israel melalui darat, udara dan laut.

Hamas berkata, serangan mengejut itu sebagai tindak balas terhadap serbuan ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, serta peningkatan keganasan penduduk haram terhadap rakyat Palestin.

Selain itu, sekurang-kurangnya 222 orang Israel menjadi tebusan, manakala empat individu dilapor sudah dibebaskan atas dasar kemanusiaan.

Setakat ini, lebih 7,028 rakyat Palestin terkorban termasuk lebih 3,000 kanak-kanak, manakala lebih 18,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

Malah, lebih 1.1 juta rakyat Palestin juga dikerah dan dipaksa untuk keluar dari Gaza.

Author

Pilihan Editor