JIKA dahulu penyakit jantung lazimnya melibatkan individu berusia antara 40-an dan ke atas, namun kini wujud trend peningkatan membabitkan golongan muda.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi Residen dan Perubatan Am, Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Mohd. Shahrom Ujang, semakin ramai golongan muda khususnya dalam kumpulan B40 dan ini merupakan sesuatu yang membimbangkan.
“Peningkatan masalah sakit jantung dalam kalangan generasi muda merupakan satu trend yang dapat dilihat ketika ini, khususnya melibatkan golongan B40.
“Pandemik Covid-19 yang berlaku telah menyebabkan ramai yang dahulunya berada dalam kumpulan M40 kini berada dalam kelompok B40, menjadikan demografik bagi golongan itu semakin membesar,” katanya memetik Kosmo.
Menurut Shahrom, antara faktor utama menyebabkan penyakit berkaitan jantung adalah dari aspek pemakanan yang tidak sihat.
Jelasnya, golongan berpendapatan rendah lebih cenderung makan makanan tinggi karbohidrat seperti nasi dalam jumlah yang banyak.
“Hal ini adalah kerana harganya yang lebih murah, lebih mudah diakses dan juga ia lebih mengenyangkan.
“Nasi juga menjadi makanan ruji kebanyakan rakyat Malaysia dan ada yang menganggap tidak boleh hidup tanpa makan nasi sehari.
“Namun, perlu diingat nasi yang diambil dalam jumlah yang terlalu banyak itu boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, yang seterusnya menjadi faktor masalah jantung,” kongsinya.
Penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dengan merekodkan 18,515 kematian.
Statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 menunjukkan bahawa Ischaemic heart diseases mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini pada tahun 2021, iaitu 13.7 peratus selepas Covid-19.