HomeGlobalWFP lancar operasi bekal makanan di Palestin

WFP lancar operasi bekal makanan di Palestin

PROGRAM Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) pada Selasa mengumumkan bahawa, pihaknya telah melancarkan operasi kecemasan untuk membekalkan bantuan makanan kepada 800,000 penduduk Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Lapor Middle East Monitor memetik Agensi Anadolu, WFP turut menuntut agar koridor kemanusiaan diwujudkan bagi memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, selain membuat rayuan untuk laluan selamat kakitangan dan barangan keperluan.

WFP menyatakan bahawa sebanyak AS$17.3 juta (RM81.7 juta) diperlukan dalam tempoh empat minggu akan datang bagi menangani situasi kritikal di Palestin ketika ini.

Semua sempadan dan pusat pemeriksaan antara Tebing Barat dan Gaza sudah pun ditutup, sekali gus menyekat bantuan yang sangat diperlukan rakyat Palestin.

Sabtu lalu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) melancarkan Operasi Banjir Al-Aqsa ke atas Israel, dengan melepaskan tembakan roket dan menyusup masuk ke negara haram itu melalui darat, udara dan laut.

Hamas berkata, serangan mengejut itu sebagai tindak balas terhadap serbuan ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan peningkatan keganasan penduduk Yahudi terhadap rakyat Palestin.

Sebagai tindakan balas, rejim pengganas Israel melancarkan serangan bertubi-tubi di Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 830 rakyat Palestin terbunuh, manakala 4,250 lagi cedera dalam serangan bom dilakukan oleh rejim pengganas Israel, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Author

Pilihan Editor