HomeNiagaSaham, ringgit terjejas jika konflik Palestin-Israel merebak

Saham, ringgit terjejas jika konflik Palestin-Israel merebak

KUALA LUMPUR: Pasaran saham global, termasuk Malaysia berisiko terkesan jika konflik di Asia Barat antara Hamas-Israel meningkat, seterusnya berubah menjadi perang proksi berskala besar antara Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) dengan Iran, demikian menurut penganalisis.

Kenanga Research dalam satu nota penyelidikan berkata, pasaran saham, bon dan komoditi global telah bertindak balas terhadap serangan ke atas Israel oleh kumpulan Hamas pada hujung minggu lalu.

Ia berkata, pasaran saham di seluruh rantau Asia Barat suram dengan indeks penanda aras pasaran saham Israel, Tel Aviv Stock Exchange 35 merosot tujuh peratus, manakala DJIA dan NASDAQ dijangka dibuka masing-masing rendah 0.6 peratus hingga 0.7 peratus berdasarkan harga niaga hadapan secara langsung.

“Terdapat risiko bahawa perang mungkin meningkat dan berkembang menjadi perang proksi skala penuh antara Barat yang dipimpin oleh AS dengan Iran.

“Oleh itu, tidak dapat dielakkan, premium risiko pasaran global, termasuk Malaysia, akan meningkat,” katanya dalam nota yang ditulis oleh penganalisis, Joshua Ng dan pasukan penyelidikan pasaran Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata, dengan andaian pihaknya mengurangkan sasaran nisbah pendapatan harga (PER) untuk FBM KLCI sebanyak 0.5 kali kepada 16 kali berbanding 16.5 kali pada masa ini, sasaran FBM KLCI akhir tahun akan diturunkan kepada 1,470 mata berbanding 1,520 mata pada masa ini.

Katanya, jika Kenanga Research mengurangkan sasaran PER dengan gandaan penuh, sasaran akhir tahun FBM KLCI pihaknya akan lebih rendah kepada 1,425 mata.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, konflik terbaharu antara Israel dan Palestin dilihat boleh memberi kesan langsung terhadap selera risiko dalam kalangan pelabur, terutamanya jika konflik berpanjangan dan membabitkan kuasa besar.

Beliau berkata, kebimbangan utama adalah bagaimana konflik boleh memberi kesan kepada pergerakan harga minyak mentah dunia serta impak kepada kadar inflasi global.

Selain itu, katanya, ia juga boleh memberi kesan kepada bank-bank pusat utama dunia terutamanya Rizab Persekutuan (Fed) AS dalam menerajui dasar monetari mereka bagi mengurangkan inflasi.

“Pendek kata, kebimbangan terhadap prospek kenaikan kadar faedah pada November nanti. Justeru, ringgit berbanding AS dolar dijangka kekal lemah berikutan konflik ini,” katanya.

Mohd Afzanizam juga menjangkakan ringgit akan berlegar sekitar RM4.71 ke RM4.73 berbanding satu dolar AS berikutan ketidakpastian pasaran.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng pula berkata, konflik itu lebih memberi kesan kepada pergerakan harga minyak kerana ia dijangka memberi kesan kepada bekalan komoditi itu.

Beliau berkata, walaupun Israel dan Palestin bukan pengeluar minyak terbesar, tetapi mereka adalah pintu masuk kepada Asia Barat.

“Lazimnya, perang akan menjejaskan sentimen. Namun, FBM KLCI naik hari ini, jadi tidak melihat secara ketara kesannya (kepada pasaran saham tempatan),” katanya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor