MOHAMED Salah digesa untuk kekal di Anfield dalam tempoh beberapa tahun lagi oleh rakan sepasukan Liverpool, Alisson.
Sabtu lalu, penyerang dari Mesir itu menjaringkan dua gol ketika The Reds memenangi aksi tetangga Merseyside ke atas Everton.
Gol itu sekali gus menyaksikan Salah tampil menjadi pemain Liga Perdana Inggeris pertama yang meledak 30 gol pada 2023.
Malah, pemain berusia 31 tahun itu juga telah mengalahkan rekod Steven Gerrard dan Kenny Dalglish dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di Anfield.
Namun, masa depan Salah di Liverpool pada jendela perpindahan yang dibuka semula pada Januari masih lagi menjadi tanda tanya, selepas kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad sudah lama berniat mahu mendapatkan khidmatnya.
Liverpool menolak bidaan Al-Ittihad dan berjaya memastikan Salah kekal di Anfield musim ini.
Menurut Alisson, Salah perlu kekal selama mungkin bersama Liverpool selepas penyerang itu kembali menunjukkan ketajamannya di depan gawang.
“Pemain ini sangat menakjubkan. Saya gembira dia berada di dalam pasukan kami. Saya harap dia dapat memecahkan kesemua rekod yang ada selagi menyarung jersi merah kami,” katanya seperti dilapor Mirror.
Sementara itu, pengendali The Reds, Jurgen Klopp menegaskan bahawa dia yakin Salah akan kekal bersama kelab tersebut untuk beberapa waktu akan datang.
“Dia bermain dengan baik. Salah terpaksa bekerja keras dan dia melakukannya. Saya tidak pernah ragu akan masa depannya dan komitmennya terhadap kelab ini.
“….dia pemain kami, dia mahu bermain di sini dan itu sahaja,” katanya pada September lalu.