HomeBeritaSubsidi bersasar perlu dilaksana walau sukar - Johari

Subsidi bersasar perlu dilaksana walau sukar – Johari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, subsidi bersasar yang dirancang kerajaan tidak mudah untuk dilaksana.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan II itu berkata, ia tetap perlu dijalankan mengikut mekanisme yang berkesan.

“Bukan senang nak buat (subsidi bersasar) tetapi perlu dibuat kerana jumlah subsidi yang kita beri, satu tahun RM81 bilion.

“Kemudian, minyak petrol yang kita beri kepada semua itu lebih kurang RM50 bilion. Hanya 14 peratus sahaja pergi kepada B40… yang lain itu semua orang boleh pakai,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan White N Black Aquasports di Taman Tasik Titiwangsa hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Johari juga berkata, kerajaan perlu memikirkan kaedah yang sesuai untuk melaksanakan subsidi bersasar itu.

“Kita nak buat macam mana? Mekanismenya kerajaan kena fikirlah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dipetik berkata, kerajaan menjangkakan program subsidi bersasar akan dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun hadapan selepas Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dilengkapi maklumat lengkap sosioekonomi isi rumah di negara ini.

Katanya, Padu dijangka melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dilapor menyatakan satu mekanisme yang telus dan cekap diperlukan dalam pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan tiada yang tercicir mahupun terkesan.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, mekanisme ini penting untuk diperhalusi kerana subsidi telah ‘melekat’ dalam ekonomi sebagai komponen struktural. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor