KUALA LUMPUR: Maestro muzik, Datuk M Nasir tiada masalah apabila lirik lagu popular ciptaannya, Nur Nilam Sari yang didendangkan Datuk Awie bersama Search, diubah kepada Pinjam Seratus Nur Nilam Sari hingga tular di TikTok.
M Nasir yang menghasilkan lirik lagu itu bersama Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq pada 1998, mengaku tidak mampu menghalang orang ramai daripada mengubah lirik lagu berkenaan dan berkongsi di platform digital.
“TikTok adalah platfotm paling efektif dan menjadi budaya sekarang. Tetapi kita tidak tahu bila akan basi.
“Bagi saya, TikTok tidak ada negatif atau positif kerana popular sekarang. Namun, tergantung kepada pengguna untuk memanfaatkannya. Itu hak awam… Saya tiada benda nak cakap.
“Sebenarnya, saya tak mahu komen kerana perkara itu (lirik lagu diubah) sudah tular,” katanya pada sidang media mempromosikan Konsert Gendang Pati di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Lirik Nur Nilam Sari ditukar kepada Pinjam Seratus Nur Nilam Sari dan tular di TikTok.
Lagu Nur Nilam Sari didedikasikan M Nasir buat bongsunya hasil perkahwinan dengan Allahyarham Junainah Johari.
Ditanya adakah beliau memanfaatkan platform itu bagi mengikut peredaran masa, M Nasir berkata, setakat ini beliau masih belum berkeinginan.
Konsert Gendang Pati bakal berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November depan. – Berita Harian