SEORANG penghantar makanan Foodpanda bertindak menghalau kaum lelaki yang berada di koc khas transit aliran massa (MRT) untuk wanita.
Meskipun perkara tersebut bukan tugas hakikinya, namun penghantar makanan itu berasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan kaum wanita daripada terkena sebarang gangguan daripada kaum lelaki.
Menerusi video berdurasi 1 minit 8 saat itu, penghantar makanan tersebut pada mulanya dilihat berjalan di ruang tengah koc wanita.
Dia kemudian menuju ke arah beberapa penumpang lelaki dan mengarah mereka untuk duduk di koc lain.
Video sama turut memaparkan, ruang di dalam koc-koc MRT ketika itu tidak sesak sehingga memaksa orang ramai untuk berhimpit-himpit.
Selain itu, terdapat masih banyak ruang untuk kaum lelaki duduk di gerabak selain koc dikhaskan untuk wanita.
Namun, kebanyakan lelaki yang dipercayai warga asing itu dilihat pura-pura tidak memahami peraturan dan masih selamba duduk di koc wanita.
Aksi penghantar makanan itu dirakam oleh orang awam yang berada di dalam MRT tersebut dan dikongsi di laman TikTok @jai.samud.
@jai.samud foodpanda prihatin…#fyp
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap prihatin penghantar makanan tersebut.
Tulis officialmakbawang: “Benda kecil tapi besar maknanya. Terbaik abang Panda.”
Tambah 🌺Mas-86: “Terbaik bang. Kami perlukan ramai lagi orang yang berani seperti abang.”
Ujar Boss Fit: “Macam itu baru betul. Rakyat Malaysia kena jadi macam ini. Berani dan outspoken.”
Atikah Bahrin turut memuji: “Terbaik abam panda.. semoga murah rezeki.”
Kak jee berkata: “Gerabak pink untuk wanita..terima kasih abang panda sebab prihatin.”