HomeBeritaPolitikTuan Ibrahim nafi PAS arah 5 jawatan tertinggi tak dipertandingkan

Tuan Ibrahim nafi PAS arah 5 jawatan tertinggi tak dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tampil menjelaskan dakwaan bahawa PAS mengeluarkan arahan supaya lima jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Menafikan perkara itu, Timbalan Presiden PAS itu berkata, parti itu tidak pernah menghalang mana-mana kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja bagi sebarang jawatan.

“Bahkan, saya sewaktu merasmikan mesyuarat agung beberapa kawasan, memohon agar mereka mencalonkan orang lain untuk jawatan timbalan presiden,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu, yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober.

Pengumuman itu kemudiannya dikritik parti lawan, antaranya daripada Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor yang menyifatkan partinya lebih demokratik berbanding PAS.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, jawatan adalah suatu amanah yang perlu dipikul seandainya dipilih.

“Berkat kerjasama jemaah, insya-Allah jemaah ini akan terus diberkati Allah.

“Apakah yang mendukacitakan kamu seandainya bebanan yang kamu pikul diangkat dari pundakmu,” katanya.

Author

Pilihan Editor