HomeBeritaMahkamah & JenayahTiga warga asing antara 16 kena cekup sabung ayam di Kota Tinggi

Tiga warga asing antara 16 kena cekup sabung ayam di Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Polis menahan 16 lelaki termasuk tiga warga asing berusia antara 20 sehingga 60 tahun, berikutan dipercayai terlibat dalam aktiviti judi sabung ayam di Felda Tunggal dekat sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Nik Azaham Nik Aziz berkata, semua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada jam 12 tengah hari.

“Dalam operasi tersebut, pihak polis merampas lapan ekor ayam dan peralatan laga ayam serta wang tunai RM5,473.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Lapan ekor ayam sabung dirampas ketika serbuan itu. -Foto: PDRM

Beliau berkata, tahanan reman terhadap semua suspek bagi membantu siasatan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi bermula Isnin sehingga Rabu ini.

Katanya, kes disiasat di bawah 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000, atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ujar beliau, kes turut disiasat di bawah Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tambahnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 25(1)(n) dan Sekyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor