HomeSukanTMJ perjelas punca rumput padang SNBJ 'barai'

TMJ perjelas punca rumput padang SNBJ ‘barai’

KUALA LUMPUR: Piala Pestabola Merdeka 2023 yang mula berlangsung pada Jumaat menyaksikan Harimau Malaya membaham pasukan India dengan keputusan 4-2.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di ibu negara itu, keputusan tersebut sekali gus melayakkan skuad kendalian Kim Pan-gon mara ke perlawanan akhir.

Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan India 4-2 pada Jumaat. – Foto: FAM

Namun, di sebalik keterujaan rakyat Malaysia meraikan kejayaan itu, ada yang kecewa dengan keadaan rumput padang SNBJ yang didakwa tertanggal atau ‘barai’, sebelum tamat separuh masa pertama perlawanan tersebut.

Gambar memaparkan keadaan padang itu kini tular di media sosial, manakala timbul persoalan sama ada rumput padang yang baru dirasmikan itu masih belum matang atau ditipu oleh kontraktor yang menguruskan projek penanaman rumput tersebut.

Antara gambar tular memaparkan rumput padang SNBJ yang terkopak, ketika perlawanan Malaysia menentang India pada Jumaat.

Tampil mengulas, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim berkata, penggunaan padang tersebut memerlukan lebih masa sebelum digunakan.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan akar rumput lebih kuat sama seperti rumput di padang Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor.

“Tetapi national team (skuad kebangsaan) nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan stadium.

“Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang-kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ni kontraktor yang sama buat padang JDT (Johor Darul Ta’zim),” tulisnya dalam hantaran di laman X.

Khamis lalu, TMJ berkenan menyempurnakan majlis perasmian padang baharu SNBJ.

TMJ berkata, ketika majlis penyerahan padang itu, beliau sempat memberitahu hadirin bahawa penggunaan padang itu memerlukan lebih masa sebelum digunakan, atas faktor akar rumput yang masih belum kuat.

“Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, TMJ berkongsi gambar memaparkan padang SSI yang dijaga rapi dan tiada sebarang masalah meskipun digunakan dalam banyak perlawanan.

This is the proven product. Dah terbukti. Tetapi kena jaga betul-betul.

“Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ tak ada TMJ di situ. Itu aja.

@FAM_Malaysia kalau nak pakai SSI cakap saya siapkan,” katanya menawarkan SSI untuk kegunaan skuad Harimau Malaya pada perlawanan akan datang.

Pada 18 Mac, Perbadanan Nasional Malaysia (PSM) telah melaksanakan kerja penukaran rumput Zeon Zoysia dan tapak semaian untuk menaik taraf kualiti dan mutu padang di SNBJ, dengan kerjasama TMJ.

Selain itu, tempoh penyelenggaraan rumput dibuat selama setahun, bermula 1 Oktober 2023 hingga 30 September 2024.

Author

Pilihan Editor