HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis siasat dakwaan anggota enggan terima laporan

Polis siasat dakwaan anggota enggan terima laporan

IPOH: Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah yang dikatakan enggan menerima laporan dibuat keluarga pelajar yang hampir dilanggar lori ketika melintas jalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dakwaan itu akan dirujuk kepada IPD Batu Gajah untuk siasatan lanjut.

Tegas beliau, tiada balai polis yang dikecualikan daripada menerima aduan orang ramai terutama membabitkan kes jenayah dan kemalangan jalan raya.

“Pihak polis tidak pernah menolak sesiapa untuk membuat laporan, tidak kira di mana pun.

“Apa pun, saya akan dapatkan laporan daripada Ketua Polis Daerah Batu Gajah dahulu. Sebarang tindakan akan diambil jika didapati dakwaan itu benar (enggan terima laporan),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang pelajar perempuan hampir dilanggar sebuah lori yang melanggar lampu isyarat merah ketika mahu melintas jalan.

Difahamkan, keluarga pelajar itu cuba membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut namun polis didakwa menolak laporan berkenaan kerana tiada kemalangan berlaku. – Utusan

Author

Pilihan Editor