HomeBeritaWarga emas maut terbabit nahas dengan penyanyi rock di Kuantan

Warga emas maut terbabit nahas dengan penyanyi rock di Kuantan

KUANTAN: Seorang maut dalam kemalangan dua kenderaan yang turut melibatkan penyanyi kumpulan rock 1990-an di susur Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Jalan Kuantan-Maran, di sini, pada Khamis.

Namun, penyanyi berkenaan tidak cedera manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda, Eddy Kusmiran Ambi, 61, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan kereta jenis BMW dipandu penyanyi itu dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Rompin.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dipandu mangsa di lorong kiri laluan dipercayai mengubah haluan ke lorong kanan.

“Pemandu kereta cuba mengelak dan menekan brek, tetapi terlanggar bahagian belakang motosikal itu. Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author

Pilihan Editor