BAPA pemain bola sepak Liverpool, Luis Diaz yang dijadikan tebusan oleh kumpulan gerila Colombia, ELN dibebaskan pada Khamis, kata kerajaan.
Selepas beberapa hari rundingan bagi pembebasan itu, pemberontak menyerahkan Luis Manuel Diaz kepada pekerja kemanusiaan di lokasi yang tidak didedahkan di banjaran gunung Serrania del Perija bersempadan dengan Venezuela.
Diaz dan penjaganya kemudian menaiki helikopter ke bandar timur laut Valledupar, kira-kira 90 kilometer dari kampung halamannya di Barrancas di utara wilayah La Guajira – tempat beliau diculik pada 28 Oktober lalu.
Ketika keluar dari helikopter, Diaz berjalan perlahan-lahan dan melambai-lambai ke arah wartawan dari jauh.
“Terima kasih kepada semua penduduk Barrancas, La Guajira dan Colombia atas sokongan yang mereka berikan kepada keluarga saya.
“Terima kasih semua, saya sayang anda semua,” kata bapa bintang bola sepak itu selepas tiba di rumahnya.
Menerusi laman X, Liverpool yang turut berkongsi berita gembira itu berkata: “Kami gembira dengan berita mengenai bapa Luiz Diaz yang selamat kembali dan kami berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam memastikan pembebasannya.”
Lapor RNZ, penculikan selama 12 hari itu telah mengganggu rundingan damai kerajaan dengan ELN, yang dimulakan semula tahun lalu dengan harapan dapat menamatkan konflik 60 tahun Colombia, yang telah membunuh sekurang-kurangnya 450,000 orang.
Kedua-dua pihak memulakan gencatan senjata selama enam bulan pada Ogos.
Sebelum ini, Diaz yang kekal di England dan terus membuat penampilan di Liverpool secara terbuka menyatakan kesedihannya atas jenayah terhadap bapanya.
Dia memakai baju yang bertulis ‘Libertad Para Papa’ (Kebebasan Untuk Ayah) ketika perlawanan Liga Perdana Liverpool menentang Luton Town pada Ahad.
Ketika perlawanan itu, Diaz menjaringkan gol penyamaan dalam keputusan seri 1-1.