HomeGlobal40 pekerja masih terperangkap dalam terowong runtuh

40 pekerja masih terperangkap dalam terowong runtuh

SERAMAI 40 pekerja masih terperangkap selepas sebuah terowong dalam pembinaan runtuh, di utara India sejak Ahad lalu.

Lapor VOA, pasukan penyelamat pada Selasa meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang masa untuk mengeluarkan mangsa, selepas kira-kira 10 hingga 20 pekerja lagi selamat keluar dari terowong berkenaan pada Ahad.

Kira-kira 200 anggota penyelamat dari agensi bantuan bencana persekutuan dan negeri menggunakan peralatan penggerudian dan jengkaut, untuk terus berkomunikasi dengan mangsa.

Paip keluli selebar 2.5 kaki (0.76 meter) akan ditolak melalui lubang yang digali, dengan bantuan bicu hidraulik bagi mengeluarkan pekerja yang terkandas, kata pihak berkuasa.

Terowong sepanjang 4.5 kilometer tersebut runtuh di Uttarakhand, iaitu negeri pergunungan dipenuhi kuil Hindu, yang menjadi destinasi menarik untuk kunjungan pelancong.

Ia merupakan sebahagian daripada projek utama kerajaan persekutuan, yang menghubungkan pelbagai tapak pembangunan Hindu.

Sementara itu, salah seorang pegawai kerajaan, Ranjit Sinha berkata, serpihan yang jatuh telah menghalang operasi menyelamat, manakala para pekerja dijangka dapat dibebaskan selewat-lewatnya pada Rabu.

Jelasnya, semua mangsa masih hidup dan dibekalkan dengan air dan makanan kering melalui saluran paip.

Bahagian terowong yang runtuh itu adalah kira-kira 200 meter dari pintu masuk, kata seorang pegawai Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, Karamveer Singh.

Singh berkata, anggota penyelamat telah berhubung dengan mangsa menerusi walkie talkie dan mesej bertulis di atas kertas yang dihantar melalui saluran paip.

Seorang lagi pegawai kerajaan dikenali sebagai Sinha berkata, punca terowong itu runtuh susulan bencana tanah runtuh di kawasan tersebut.

Januari lalu, pihak berkuasa negeri memindahkan beratus-ratus orang ke tempat perlindungan sementara, selepas sebuah kuil runtuh dan keretakan muncul di lebih 600 kediaman berikutan tanah mendap di sekitar bandar Joshimath di wilayah itu.

Author

Pilihan Editor