HomeBerita‘Abah sihat’, anak maklum Zahid Hamidi selesai jalani pembedahan

‘Abah sihat’, anak maklum Zahid Hamidi selesai jalani pembedahan

CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berada dalam keadaan sihat, selepas menjalani satu prosedur pembedahan pada Khamis lalu.

Perkara itu dikongsikan oleh puteri sulungnya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menerusi hantaran di laman Instagram pada Ahad.

Menurut Nurulhidayah atau lebih mesra disapa Kak Long, pembedahan itu sepatutnya berlangsung lebih awal namun terpaksa ditunda, berikutan kekangan masa dan jadual padat Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

“Saya mengambil maklum berita kesihatan abah saya yang tular di sosial media, secara peribadi dan rendah diri, saya menghargai keprihatinan dan doa daripada posting, komen dan tidak kurang juga daripada mereka ‘yang terpaling tahu’.

“Alhamdulillah abah saya sihat setelah menjalani satu prosedur pembedahan pada hari Khamis, ia seharusnya dilakukan lebih awal lagi, kerana kekangan masa dan jadual yang padat. Begitulah abah. Kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri.

“Bagi kami sekeluarga, inilah masa yang sebaiknya kami gunakan untuk bersama menyantuni abah, menjadi sumber semangat abah untuk kembali pulih dan sihat agar dapat meneruskan khidmat kepada negara,” tulisnya.

Dalam perkongsian itu, Nurulhidayah turut berkongsi sekeping gambarnya yang sedang menemani Ahmad Zahid bersarapan.

Pada Sabtu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menerusi hantaran di  Facebook memaklumkan menerima perkhabaran bahawa, Ahmad Zahid melakukan pembedahan membuang ketumbuhan disyaki kanser prostat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu berkata, walaupun menjadi seteru dalam politik, namun ketika seseorang itu ditimpa sakit atau musibah seharusnya mendoakan yang terbaik kepada individu berkenaan tidak kiralah ia adalah seorang kawan atau pun lawan.

Dalam pada itu, Nurulhidayah berkata, meskipun bapanya mempunyai semangat juang yang tinggi, namun sering lupa bahawa dirinya memerlukan gaya hidup sihat bagi meneruskan kerjaya politiknya.

“Semoga segala pengorbanan dan perkhidmatan abah kepada agama, masyarakat dan negara keseluruhannya selama ini, Allah gantikan dengan pahala yang berlipat ganda, ke syurga tanpa hisab serta ditempatkan di syurga yang tertinggi,” katanya.

Pada masa sama, Nurulhidayah dalam turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memainkan berita mengenai sakit atau matinya seseorang itu.

“Jangan suka-suka mendoakan yang tidak baik. Berita yang tak pasti dan tak sahih jangan kongsi. Apa sahaja doa yang baik atau tidak itu akan kembali kepada kita.

“Semoga Allah menjauhi kita dan keluarga kita dari sakit yang memudaratkan serta terus melindungi kita semua dunia akhirat,” katanya.

Author

Pilihan Editor