HomeGlobalAfrika Selatan luluskan usul tutup kedutaan Israel

Afrika Selatan luluskan usul tutup kedutaan Israel

AFRIKA Selatan meluluskan usul penutupan kedutaan Israel di negara itu, sebagai langkah solidariti terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza yang dikepung.

Usul itu diluluskan pada Selasa selepas undian menyaksikan 248 penggubal undang-undang memberi sokongan manakala 91 lagi menentang.

Ia dibawa oleh Economic Freedom Fighters, parti pembangkang ketiga terbesar dan disokong oleh parti African National Congress yang memerintah.

Sementara itu, parti Democratic Alliance yang majoritinya berkulit putih dan sebahagian besar pro-Israel menentang usul tersebut, lapor Press TV.

Sebelum ini, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengecam perang berterusan dilancarkan rejim pengganas Israel ke atas Gaza.

Beliau meyakini bahawa Israel melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai, yang mana lebih 14,000 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban sejak 7 Oktober lalu.

Menjelang pengundian Parlimen, Israel memanggil semula dutanya ke Afrika Selatan, Eliav Belotserkovsky untuk melakukan perundingan.

“Susulan kenyataan terbaharu Afrika Selatan, Duta Besar Israel ke Pretoria (ibu negara Afrika Selatan) telah dipanggil semula ke wilayah diduduki untuk berunding,” tulis kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Israel di laman X pada Isnin.

Israel enggan bekerjasama dengan mahkamah pada 2021, berhubung siasatan jenayah perang ke atas wilayah Palestin yang diduduki.

Minggu lalu, Pretoria mengumumkan bahawa ia sudah mendakwa Israel atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Genting Gaza kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Kabinet Pretoria pada Isnin menggesa ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Memandangkan kebanyakan masyarakat global menyaksikan jenayah tersebut termasuk kenyataan dengan niat melakukan pembunuhan beramai-ramai oleh pemimpin Israel, kami menjangkakan bahawa waran tangkap mereka termasuk Netanyahu harus dikeluarkan tidak lama lagi,” kata menteri tanpa portfolio negara itu, Khumbudzo Ntshavheni.

Pada 7 November lalu, Menteri Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Naledi Pandor turut menggesa ICC untuk meminta Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang jenayah antarabangsa di Gaza.

Author

Pilihan Editor