KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, dipanggil memberi keterangan berhubung video bualan lucah di Bukit Aman, esok.
Turut akan dipanggil bagi tujuan sama oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) adalah Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Abdul Wahab yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Langat, sebelum ini mengaku merakamkan video berkenaan tetapi mendakwa kandungannya sudah disunting.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, Abdul Wahab dijangka memberi keterangan secara berasingan.
“Abdul Wahab akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Kita juga akan memanggil beberapa individu lain dalam proses membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Razarudin berkata, siasatan juga turut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang dikatakan sebagai ‘Mr H’ yang sebelum ini dilaporkan sebagai bertanggungjawab mengubahsuai video berkenaan.
Setakat ini masih belum dapat dipastikan waktu dan lokasi proses rakaman percakapan Mohammad Agus dijalankan esok.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengesahkan bahawa pihaknya akan mengadakan satu sidang media berhubung kes berkenaan esok. – Berita Harian